/*ikan keli kelantan info menarik,catfish,cara jadi jutawan keli,kg gelong gajah pasir mas: ternak dalam sangkar kanves & konkrit lebih lumayan*/ b:include data='blog' name='all-head-content'/>
Laman web rasmi kg gelong gajah dan tempoyak pasir mas kelantan
ASSALAMUALAIKUM,SELAMAT BELAJAR JADI PERTERNAK IKAN KELI

Saturday, August 22, 2009

ternak dalam sangkar kanves & konkrit lebih lumayan


Pelbagai cara ternakan ikan diperkenal samada melalui kanvas, kolam sangkar terapung atau kolam konkrit mengikut kesesuaian tempat, modal dan kecenderungan usahawan tani itu sendiri. Hendak seribu daya...

By BERNAMA

KOLAM konkrit yang digunakan sebagai tempat menyimpan air akan hilang fungsinya berikutan semakin ramai petani dan penternak menyedari kelebihannya dari segi ekonomi dan menjadikan kolam itu sebagai tempat menternak ikan.
Penggunaan kolam yang menjimatkan, praktikal dan selesa daripada bau hanyir dan tanah bukan saja memudahkan petani mengawal ternakan malah mereka dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran menerusi teknologi moden.
Bukan itu saja, sistem penternakan ikan dalam sangkar terbuka sama ada di pantai, tasik, tali air, lombong atau kawasan terbiar adalah antara kaedah menternak ikan bagi tujuan komersil.
Di Malaysia, banyak projek sangkar terbuka sama ada di pantai atau tasik berjaya meningkatkan jumlah pembenihan ikan dan produktiviti pengeluaran ikan.
Antara projek ternakan ikan air masin dalam sangkar terbuka yang diusahakan di perairan Pulau Nangka, Melaka. Projek ini dijalankan secara teknologi tinggi menggunakan sangkar Polietelina Berkepadatan Tinggi (HDPE) yang tahan lama berbanding sangkar kayu.
Peralatan dan mekanisasi canggih kawalan dan penyeliaan digunakan melalui kaedah HDPE.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Mohd Mazlan Jusoh berkata, sistem ternakan ikan di kolam konkrit dapat meningkatkan hasil ternakan ikan air tawar negara pada kadar 200,000 tan metrik setahun.
Sistem kolam terdiri daripada beberapa komponen utama seperti kolam konkrit, alat pengudaraan yang dapat mengekalkan paras oksigen, dinding pemisah konkrit bagi mengawal arah aliran air supaya bergerak searah dan alat untuk menuai ikan serta cawangan untuk bahan sisa.
Dalam usaha menyelaras perkembangan industri perikanan, katanya, kerajaan memberi penekanan kepada kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan menubuhkan sebuah pusat penyelidikan perikanan air tawar di Negeri Sembilan.
Menurut Berita Perikanan, apabila siap pada 2002, pusat itu yang bernilai kira-kira RM65 juta akan memainkan peranan utama dalam R&D perikanan air tawar dan menjadi pusat maklumat dan pengembangan teknologi akuakultur air tawar.
Ketua Jabatan Sumber Akuatik Universiti Putra Malaysia cawangan Terengganu, Aizam Zainal Abidin berkata, potensi penternakan ikan di negara ini adalah sangat besar kerana ia mempunyai nilai pulangan yang tinggi dan pada masa yang sama dapat mengurangkan bekalan ikan import.
Pengaliran keluar wang bukan saja dapat dielakkan malah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Katanya, promosi kerajaan untuk membangunkan industri akuakultur bertepatan pada masanya iaitu ketika negara masih bergantung besar kepada ikan import.
"Promosi kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi meningkatkan penternakan dan pengeluaran ikan tempatan dijangka memberi kesan besar kepada penduduk yang terbabit secara langsung dalam industri perikanan.
Malah, pelancaran mohor perdagangan (trade mark) bandar tertentu di beberapa negeri seperti "Temerloh Sebagai Bandar Ikan Patin" dapat menarik pelaburan swasta," katanya baru-baru ini.
Sesuai dengan perkembangan semasa, pembangunan industri perikanan di negara ini terbukti dengan bertambahnya jumlah projek ternakan ikan termasuk di dalam sangkar terbuka yang dipasang di dalam air.
Kejayaan projek ternakan ikan dalam sangkar terbuka, tali air sawah dan kolam konkrit di Tasik Kenyir (Terengganu), Bachok dan Kubang Kerian (Kelantan) membuktikan bahawa industri berkenaan mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Kerajaan bergiat untuk mempromosi dan meningkatkan industri perikanan tempatan secara komersil supaya negara tidak terlalu bergantung kepada ikan import.
Oleh itu, kerajaan mengambil berat keperluan dan perkembangan industri perikanan yang diletakkan di bawah Jabatan Perikanan.
Malah dalam pembentangan belanjawan 2000 baru-baru ini Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin mengumumkan keputusan bahawa kerajaan berusaha meningkatkan sektor pertanian menerusi peruntukan RM1.05 bilion bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan sektor pertanian.
Program ini termasuk meningkatkan kualiti dan produktiviti hasil pertanian di samping memantapkan sistem dan pemasarannya. Kerajaan berharap dengan adanya program ini, bilangan import makanan dijangka dapat dikurangkan.
Daim berkata, "Pembangunan sektor pertanian akan dimantapkan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang dirangka adalah visi baru bagi pembangunan sektor pertanian. Ini adalah iltizam kerajaan untuk memaksimumkan hasil pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan sumber pertanian melalui pemodenan dan pendekatan secara komersil."
DPN3 menyatakan bahawa sumber semulajadi termasuk perhutanan, air dan sumber marin akan terus dibangunkan dan diuruskan secara mapan. Malah DPN3 turut mensasarkan pertumbuhan sektor perikanan sebanyak 3.1% setahun dari RM1.8 bilion pada 1995 kepada RM2.9 bilion menjelang 2010.
Sumbangannya kepada sektor pertanian dijangka meningkat daripada 11.2% pada 1995 kepada 13% pada tahun 2010 manakala kepentingan sumbangannya naik dari tempat ketiga ke tempat kedua selepas kelapa sawit menjelang tahun 2010.
DPN3 juga mensasarkan bahawa jumlah pengeluaran sektor perikanan dijangka meningkat daripada 1.24 juta tan pada 1995 kepada 1.93 jua tan metrik menjelang tahun 2010.
Pengeluaran perikanan laut dalam menyumbang 434,000 tan, perikanan pantai kekal pada 900,000 tan dan akuakultur 600,000 tan setahun menjelang tahun 2010.
Dengan unjuran positif dalam industri perikanan negara, ia dijangka dapat membuka peluang pembangunan kepada industri sokongan termasuk pengeluaran makanan dan benih ikan.
Permintaan ke atas ikan dan produknya juga dijangka meningkat daripada 809,300 tan pada 1995 kepada 1.59 juta tan pada 2010. Penggunaan perkapita ikan negara pula naik daripada 39.1 kilogram pada 1995 kepada 56 kilogram pada 2010, menurut Berita Perikanan.
Alternatif teknologi penternakan ikan moden seperti ikan dalam sangkar dapat meningkatkan pengeluaran ikan. Sangkar ikan lebih mudah dikendalikan serta dapat meningkatkan pengeluaran hasil, kata Mazlan, sambil menambah, potensi perikanan akuakultur membabitkan projek ternakan sangkar terbuka adalah kaedah yang paling praktikal bagi meningkatkan jumlah ikan.
Ia menggalakkan produktiviti hasil ikan malah persekitarannya sesuai untuk kehidupan ikan.
Lawatan penulis ke sebuah pusat ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir mendapati bahawa kaedah itu adalah lebih mudah diselaraskan.
Ini kerana ia hanya membabitkan kaedah pengurusan seperti jadual memberi makan kepada ikan dan pembenihan ikan.
Seorang penternak ikan yang sudah mengusahakan ternakan ikan air tawar sejak lima tahun lalu iaitu Zahkari Mohamad, 30-an, berkata teknologi sangkar ikan air yang digunakannya adalah rekaan terbaru Jabatan Perikanan.
Menurutnya, sehingga kini, ada kira-kira 2,800 hektar kawasan di Tasik Kenyir yang sudah dijadikan sangkar terbuka oleh pengusaha chalet dan ikan kecil-kecilan.
Beliau berkata, penggunaan sangkar ikan air tawar dapat meningkatkan lebih 100% ikan air tawar seperti tilapia merah, lampam jawa, patin dan kap tahun lalu berbanding kira-kira 10 tahun lalu. Kaedah ini belum popular ketika itu.
Seorang pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang bertanggungjawab atas pembangunan Tasik Kenyir berkata, Tasik Kenyir amat popular dengan pelbagai spesies ikan air tawar.
Dalam tempoh setahun, tasik itu mampu mengeluarkan antara 25 dan 50 metrik tan ikan air tawar. Antara spesies ikan air tawar yang dipelihara di Tasik Kenyir ialah ikan bilis air tawar dan spesies itu dijangka dapat menyumbang hasil pengeluaran bilis air tawar antara lima dan lapan tan setahun.
Sementara itu, Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Jajahan Bachok, Azizan Ahmad berkata, kaedah penternakan ikan di tali air sawah pula dikenal pasti lebih menjimatkan.
Ini kerana petani hanya perlu menggunakan sumber sedia ada malah ikan yang diternak diakui pembeli kawasan sekitar tidak terjejas dari segi mutu dan rasa.
Katanya, ini disebabkan air yang digunakan di tali air adalah bersih. Projek sangkar ikan itu mampu mengeluarkan antara 1,500 dan 2,000 tilapia dalam masa enam bulan dalam setiap sangkar berkelulusan 50 kaki panjang dan 100 kaki lebar.
Kesimpulannya, usaha menggiatkan penternakan ikan secara akuakultur sama ada ikan air tawar atau ikan air masin adalah strategi serampang dua mata kerajaan untuk meningkatkan industri perikanan tempatan. Antara kelebihan yang diperolehi ialah ia dapat meningkatkan jumlah ikan dan mengurangkan import ikan luar negara.
Projek sangkar ikan juga dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Masyarakat luar bandar dapat meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan mereka dengan menternak ikan di pantai, tasik, kolam, lombong tinggal dan tali air secara komersil.

0 comments:

Post a Comment

 

ikan keli kelantan info menarik,catfish,cara jadi jutawan keli,kg gelong gajah pasir mas cara ternak ikan kelipelihara ikan keli catfish pelihara itik Bloggerized by Ipiet Blogger Templates © 2008